TEMERLOH: Setelah 41 tahun ‘bergelumang’ bersama gajah, ketua pengawal gajah dalam filem Anna and The King, Saudi Sidek, 60, menamatkan perkhidmatannya di Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Jawatan terakhir anak jati Kampung Tebat, Pekan sebelum bersara wajib ialah Pembantu Hidupan Liar Kanan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang dekat sini.
Menurutnya, sepanjang perkhidmatan, pelbagai peristiwa pahit dan manis dilaluinya ketika bertugas sebagai penggembala gajah di beberapa tempat antaranya di Kuala Lompat, Kuala Krau dan Zoo Melaka.
“Kenangan manis paling terkesan apabila saya terpilih menjadi ketua pengembala gajah dalam filem Anna and The King. Penggambaran lebih dua minggu pada 1999 itu di kawasan Gua Tempurung, Perak.
“Filem adaptasi peristiwa di Thailand itu diarahkan Pengarah Amerika, Andy Tennant mendapat sambutan penonton dari seluruh dunia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Bolok di sini semalam.
Saudi berkata, peristiwa lain yang menjadi kenangan termasuk dia bersama rakan-rakan terpaksa bermalam selama beberapa hari dalam hutan tebal di Johor, Kelantan dan Terengganu untuk menangkap gajah liar.
Menurutnya, dalam satu operasi menangkap gajah di sekitar Mersing, Johor, para mahout (penggembala) berjaya menangkap lebih 20 ekor gajah liar menggunakan gajah denak.
“Untuk membawa keluar gajah-gajah itu, penggembala seramai 30 orang terpaksa menunggang gajah secara bergilir-gilir sejauh 40 kilometer,” katanya.
Beliau menambah, terdapat juga peristiwa lucu tetapi cemas iaitu ketika mereka mahu menyuntik kali kedua gajah yang ditembak dengan ubat pelali di Sedeli, Johor.
Menurutnya, tiba-tiba gajah itu yang sebelumnya tidak sedarkan diri bingkas bangun kerana terkejut.
Tambahnya, peristiwa pahit yang dialaminya, dia pernah ditusuk gading ketika mamalia daratan terbesar itu dalam keadaan marah.
“Bagaimanapun cedera yang saya alami tidak parah tetapi masih berbekas sehingga ke hari ini.
“Pengalaman menunggang gajah denak buta ketika diminta bertugas selama 34 hari di Vietnam dan berjaya menangkap lapan ekor gajah liar di negara itu turut menjadi kenangan,” katanya.