GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dijangka menjadi individu pertama di negeri ini yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dijadualkan pada minggu depan.
Menurut Kon Yeow, sebagai pemimpin utama negeri itu yang menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, beliau bersedia menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin tersebut seperti dicadangkan.
Dalam pada itu, Kon Yeow menyifatkan penerimaan vaksin Covid-19 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira pukul 5.30 petang ini sebagai fasa amat penting dalam usaha negara melawan pandemik tersebut.
Ujar beliau, program imunisasi itu juga telah membawa harapan ke arah pemulihan selepas rakyat terpaksa membayar harga tinggi dari aspek nyawa, sosial dan ekonomi sejak bermulanya wabak itu kira-kira setahun lalu.
“Harapan saya semoga program imunisasi massa ini akan berjaya dalam menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dan saya menyeru seluruh penduduk Pulau Pinang menyokong dan memastikan program ini berjaya.
“Kerajaan negeri juga akan memaklumkan perkembangan dan maklumat penting berkenaan program pemberian vaksin ini kepada penduduk negeri ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali menyambut ketibaan vaksin Covid-19 itu yang diterbangkan dari Singapura dI LTAPP, Bayan Lepas di sini petang ini.
Difahamkan, sebanyak 16,000 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer yang dimuatkan di dalam tiga buah kotak itu akan ditempatkan di dua buah lokasi penyimpanan di sini sebelum program suntikan imunisasi bermula dijangka Rabu ini.
Turut difahamkan terdapat sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah ditetapkan di negeri ini dengan sasaran fasa pertama penerimanya ialah seramai 30,000 individu terdiri daripada warga barisan hadapan. – UTUSAN ONLINE