PETALING JAYA : Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan ketua kumpulan kongsi gelap dari China, Wan Kuok Koi yang dikenali sebagai “Broken Tooth” dikehendaki polis sebelum ini berikutan dakwaan terbabit kes gangsterisme dan penipuan berjumlah RM6 juta didapati tidak berada di dalam negara.
Kata beliau, setakat ini, apa yang dimaklumkan, subjek ini sudah tidak berada di dalam negara ini dan dia terlibat dalam siasatan polis berhubung satu kes penipuan berlaku dalam negara.
“Lelaki berusia 65 tahun itu dikehendaki PDRM sejak 16 Oktober tahun lalu atas dakwaan terbabit kes gangsterisme dan penipuan berjumlah RM6 juta,” katanya selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.
Terdahulu, Kuok Koi sebelum ini menjalani hukuman penjara 14 tahun di Macau, selepas disabitkan kesalahan sindiket ceti haram atau along, pengubahan wang haram dan mengetuai kumpulan penjenayah, sebelum dibebaskan pada 2012.
Dalam perkembangan berasingan, mengulas mengenai pelaksanaan SJR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang didakwa longgar, Acryl Sani berkata, dakwaan itu adalah tidak benar bahkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di setiap SJR seluruh negara.
“Peningkatan itu nampak ketara berbanding PKP sebelum ini jadi polis perlu memeriksa supaya orang awam yang mempunyai dokumen lengkap dibenarkan melakukan perjalanan.
“Boleh dikatakan sepanjang tempoh ini lebih 98 peratus orang awam yang melakukan perjalanan mempunyai dokumen berkenaan, jadi orang awam lain diminta bersabar untuk melepasi mana-mana sekatan jalan raya kerana pertambahan kenderaan itu memang telah dijangka,” jelasnya-UTUSAN ONLINE.