Kes representasi pemulihan kerja meningkat tahun lalu - Utusan Malaysia

Kes representasi pemulihan kerja meningkat tahun lalu

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) menerima peningkatan jumlah bilangan pengendalian kes representasi pemulihan kerja sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 9,142 kes berbanding 7,179 pada tahun sebelumnya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, daripada jumlah itu, JPPM berjaya menyelesaikan sebanyak 6,275 kes dengan 3,694 daripadanya diselesaikan melalui kaedah rundingan damai.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 2,150 kes berjaya diselesaikan secara pembayaran ex-gratia yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM50.87 juta.

“Pembayaran ex-gratia tertinggi yang diterima oleh perayu adalah sebanyak RM1.41 juta selain seramai 196 orang berjaya dipulihkan semula ke jawatan asal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Saravanan, mengikut rekod JPPM, jumlah pembayaran secara ex-gratia pada 2018 adalah sebanyak RM22.37 juta manakala RM47.29 juta dibuat pada 2019.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan JPPM bagi mempercepatkan pengendalian kes dan meningkatkan penyelesaian secara rundingan damai adalah dengan penglibatan pegawai-pegawai di ibu pejabat yang turut mengendalikan mesyuarat rundingan damai di negeri-negeri dengan kes tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain itu beliau menjelaskan, rundingan damai lanjutan turut dijalankan di ibu pejabat untuk meningkatkan penyelesaian kes.

“Untuk memudahkan pekerja memfailkan kes semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), JPPM juga mengambil inisiatif dengan menerima pemfailan kes secara dalam talian.

“Mesyuarat rundingan damai juga dilaksanakan secara dalam talian dengan persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja,” katanya.

Saravanan berkata, JPPM juga sentiasa berusaha meningkatkan penyelesaian kes melalui kaedah rundingan damai.

“Malah majikan, pekerja serta kesatuan sekerja adalah digalakkan untuk menyelesaikan kes secara rundingan damai kerana dapat menjimatkan masa dan kos di samping memelihara perhubungan perusahaan yang kondusif serta harmoni,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya