Keropok bawang air tangan Wak Sukardi rangup - Utusan Malaysia

Keropok bawang air tangan Wak Sukardi rangup

SUKARDI Darom menjemur keropok untuk dikeringkan sebelum dijual kepada orang ramai di rumahnya di Jalan Stulang Baru, Kampung Stulang Baru.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Demi mencari rezeki halal ditambah lagi dengan keadaan umur yang semakin meningkat untuk melakukan kerja-kerja berat, seorang warga emas memilih untuk menghasilkan makanan tradisional negara asalnya.

Sukardi Darom, 60, yang berasal dari Surabaya, Indonesia berkata, kudrat yang ada digunakan sebaik mungkin untuk dia menjana pendapatan dengan menjual keropok bawang kepada orang ramai terutama pelanggan tetapnya.

Tanpa menggunakan sebarang mesin yang canggih, bapa kepada enam cahaya mata yang kini mendapat taraf penduduk tetap itu melakukan semua proses pembuatan sendiri bermula daripada menguli tepung sehinggalah menjemur di bawah panas terik matahari.

“Sebelum ini saya hanya kerja kontrak lebih 20 tahun sejak datang ke Malaysia pada tahun 1982 dan buat bermacam-macam kerja, saya pernah kerja di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura sebagai pekerja kontrak.

“Saya mengambil keputusan berhenti dari kerja kontrak pada tahun 2005 dan terus tinggal di Johor Bahru sehingga mendapat kerakyatan negara ini dan mula terfikir untuk menghasilkan keropok bawang yang menjadi makanan tradisi penduduk Indonesia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sukardi yang tinggal bersendirian di rumah sewanya di Jalan Stulang Baru, Kampung Stulang Baru kerana isteri dan tiga anaknya berada di Surabaya berkata, tiga lagi anaknya turut menetap di Johor Bahru tetapi masing-masing sudah berkeluarga.

Mengenai resepi makanan ringannya itu, ujar Sukardi, pembuatan keropok bawang tidak memerlukan ikan tetapi hanya memerlukan tepung gadum, tepung ubi, bawang putih, halia dan garam.

“Setelah dikisar hingga sebati ia akan dibentuk menjadi kiub panjang, kemudian direbus terlebih dahulu sebelum disejukkan dan selepas itu dipotong keping-keping nipis dan dijemur di tengah panas selama tiga hari untuk mendapatkan kualiti yang baik.

“Setiap lima hari saya perlu menyediakan kira-kira 10 kilogram bahan mentah bagi menyiapkan tempahan daripada pelanggan yang membelinya dengan harga RM10 bagi setiap kilogram,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Sukardi, dia bersyukur walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini ia langsung tidak menghalangnya untuk terus menyediakan keropok bawang untuk dijual bagi menyara hidup. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN