Kerjasama hospital kerajaan-swasta kurangkan tekanan rawat pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Kerjasama hospital kerajaan-swasta kurangkan tekanan rawat pesakit Covid-19

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Kesihatan mula bekerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan Covid-19 bagi tujuan mengurangkan tekanan ke atas hospital-hospital kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk merawat pesakit Covid-19.

Menurut beliau, kementerian berkenaan memperuntukkan sejumlah RM 27 juta pada tahun ini bagi tujuan tersebut.

Bagi pengurusan dan rawatan pesakit Covid-19 di hospital swasta pula, kata Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan mendapat kerjasama baik daripada hospital-hospital swasta di seluruh negara.

Katanya, setakat 3 Februari lalu, pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

“Selain itu, kemudahan makmal kerajaan dan swasta juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan Covid-19.

“Pada masa ini sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari. Kerajaan akan meningkatkan lagi keupayaan makmal kerajaan dan swasta untuk menjalankan ujian saringan Covid-19,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Perdana Menteri berkata, konsep hospital kluster di antara hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan akan diperluaskan bagi merangkumi hospital-hospital awam lain seperti hospital universiti, hospital angkatan tentera dan hospital-hospital swasta yang akan digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Hospital swasta pula katanya, akan diletakkan di bawah pengoperasian Hospital Kluster dengan sektor awam di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu.

Muhyiddin memberitahu, melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kerajaan akan mula mengambil alih kemudahan-kemudahan bagi tujuan menambah pusat saringan Covid-19 dan pusat kuarantin.

Jelasnya, bagi aktiviti penyumberluaran dan pengambilalihan ini, suatu bentuk pampasan akan diberikan kepada pemilik premis berdasarkan naziran penilaian oleh pihak kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga telah menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk membuat pengambilalihan sementara Kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem-kem Wawasan yang digunakan sebagai Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penjara sementara.

“Ini adalah sebahagian daripada tindakan serta merta kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di depoh-depoh tahanan Jabatan Imigresen dan penjara yang secara langsung dapat mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan.

“Sebanyak 16 kem PLKN dan Kem Wawasan telah diambil alih secara sementara untuk tujuan ini. Tindakan ini juga mampu mempertingkatkan penguatkuasaan kerajaan dalam mencegah kemasukan PATI ke negara ini yang juga menjadi antara punca penularan Covid-19 di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, untuk meningkatkan lagi keupayaan tindakan penguatkuasaan kerajaan dalam memerangi Covid-19, beliau telah mengeluarkan arahan di bawah Ordinan Darurat untuk menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia bagi membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan semasa membantu agensi-agensi lain melakukan tugas pencegahan PATI dan operasi pencegahan Covid-19.

Beliau juga mengarahkan anggota RELA yang berjumlah lebih 3 juta orang di seluruh negara untuk membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis-premis perniagaan dan tempat awam.

“Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan Program Pemerkasaan Komuniti yang akan melibatkan pemimpin masyarakat setempat dalam kempen pencegahan Covid-19 di peringkat komuniti masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya