SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM500,000 tahun ini kepada pesakit yang tidak berkemampuan untuk membeli alatan sokongan implan ortopedik.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat bulan Januari lalu kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM91,000 kepada 11 individu yang layak.
“Kebiasaannya, pesakit yang memerlukan alat bantuan sokongan ini adalah dalam kalangan mereka yang mengalami kemalangan atau kes perubatan yang menyukarkan mereka berkerja seperti sebelumnya.
“Pada tahun 2020 yang lalu seramai 54 individu telah menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM290,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.
Terdahulu, Aminuddin turut menyampaikan bantuan berjumlah RM24,450 kepada R. Hemalatha, 20, bagi membiayai kos untuk tujuan yang sama.
Bantuan tersebut disampaikan kepada bapa Hemalatha, R. Raghu.
Menurut Menteri Besar, Hemalatha, telah terlibat dalam kemalangan pada 12 Januari lalu yang menyebabkan kedua-dua tulang kakinya patah dan mengalami kecederaan pada salur darah.
“Ketiga-tiga jenis pembedahan dan implan tersebut merupakan rawatan yang diperlukan pesakit. Rawatan itu bagi membolehkan penyembuhan tulang dan penjajaran pada paksi tulang berada pada tahap optimum,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuka semula permohonan lesen perniagaan barangan lusuh dan terpakai yang dibekukan sebelum ini dengan tambahan syarat baharu iaitu premis perlu dibuka di kawasan perindustrian. -UTUSAN ONLINE