Kerajaan negeri tunggu laporan JPS, JKR - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri tunggu laporan JPS, JKR

AHMAD Yakob (dua kiri) meninjau lokasi runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas hari ini.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kerajaan Kelantan akan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah runtuhan tebing Sungai Kelantan sebaik sahaja menerima laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, benteng berusia 40 tahun yang dibina di sekitar tebing sungai tersebut perlu dibaik pulih secepat mungkin bagi mengelak kesan lebih buruk selain mengancam nyawa penduduk di situ.

“Sebelum bertindak, kerajaan negeri akan teliti laporan dan kenal pasti punca kejadian. Kita seboleh-bolehnya mahu masalah ini diselesaikan sebelum November bagi mengelak musim tengkujuh sekali lagi.

“Buat masa ini antara langkah awal kita ambil adalah memindahkan penduduk terlibat ke tempat lebih selamat ,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kesan runtuhan tebing itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir Datuk Hanifa Ahmad.

Ahmad memberitahu, kerajaan negeri akan memberikan bantuan segera kepada semua mangsa terlibat namun perincian mengenainya akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, Hanifa berkata, sebuah dewan badminton berhampiran dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan kira-kira 50 penduduk dari 15 keluarga yang diarah mengosongkan rumah masing-masing.

“PPS itu boleh memuatkan 80 orang dalam satu-satu masa. Jika lebih ramai, penduduk diminta berpindah, kita akan membuka satu lagi PPS di dewan sekolah tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Hanifa juga memberitahu siasatan awal mendapati, runtuhan terbabit dipercayai berlaku disebabkan terjahan kuat arus air Sungai Kelantan terhadap tebing.

“Kita khuatir jika keadaan ini berterusan, ia bakal menjejaskan sebahagian besar bandar Pasir Mas,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya