PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menyediakan strategi yang lebih jelas dan tuntas dalam membendung wabak Covid-19 selain daripada ‘memesong’ tujuan utama darurat.
Dalam siaran secara langsung di laman Facebooknya, Anwar mempertikaikan keperluan pembinaan dewan serbaguna bernilai RM35 juta di Pagoh.
“Untuk isu Covid-19, kita tidak boleh lari daripada isu pengurusan kerajaan kerana setiap langkah memerlukan tatakelola yang berkesan untuk setiap proses seperti membeli ubat, pembayaran pekerja barisan hadapan dan juga tentukan peruntukan-peruntukan.
“Adakah peruntukan itu jabatan politik yang mencecah ratusan juta ringgit atau menyediakan peruntukan untuk pembinaan dewan yang gagah perkasa sedangkan rakyat dalam kesusahan dan juga tidak cukup makan,” katanya dalam siaran langsung berkenaan.
Kenyataannya itu seolah-olah berkaitan dengan keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM35,435,992.00 bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di kawasan Parlimen Pagoh.
Tambahnya, kerajaan juga harus prihatin dalam membuat keputusan dan tidak pilih kasih terutamanya selepas proklamasi darurat yang menyekat negara daripada mempunyai persidangan Parlimen.
“Ini kerana permasalahan sekarang ini, dengan payung Darurat, pemimpin-pemimpin negara membuat keputusan tanpa tender dan ini membimbangkan kerana ia terkait dengan isu pengurusan kerajaan yang baik,” katanya.
Selain itu, keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari cetus kemarahan orang ramai apabila gagal menyediakan garis panduan baharu yang lebih jelas.
Ahli Parlimen Port Dickson itu membidas tindakan kerajaan yang tidak mengendahkan sektor pekerjaan yang banyak terlibat dengan kluster Covid-19 tetapi masih dibenarkan beroperasi.
“Saya ingin menegaskan, saya menggesa agar ujian Covid-19 diperluaskan dan untuk kluster yang menyebabkan munculnya penyakit ini seperti kilang dan tempat-tempat sesak harus diberikan tumpuan yang lebih.
“Strategi tentang vaksin ini, negara-negara jiran telah berjaya sementara kita terus mendengar pelbagai alasan untuk mempertahankan keputusan kerajaan sebelum ini.
“Kenapa Indonesia dan Singapura dapat mengambil tindakan lebih awal dan memulakan suntikan vaksin lebih awal sedangkan kita masih kebelakang,” katanya. -UTUSAN ONLINE