Keputusan kes rasuah Rosmah berhubung projek tenaga solar hibrid 18 Februari - Utusan Malaysia

Keputusan kes rasuah Rosmah berhubung projek tenaga solar hibrid 18 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 18 Februari ini bagi keputusan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam-peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh yang mewakili tertuduh, pada akhir kes pendakwaan.

Rosmah, 69, dibicarakan atas satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.

Terdahulu, Sri Ram dalam hujah tambahannya menyatakan, keterangan yang dikemukakan menunjukkan Rosmah tidak meminta rasuah secara peribadi daripada Saidi (saksi pendakwaan ke-17), sebaliknya rasuah itu diminta melalui Rizal (saksi pendakwaan ke-21).

Menurut Sri Ram, pihak pembelaan tersalah sasaran ketika menghujahkan bahawa Rosmah tidak meminta rasuah daripada Saidi.

Sri Ram turut berhujah, dua pembantu kediaman Rosmah (butler) tidak perlu dipanggil memberi keterangan berhubung penyerahan dua beg berisi wang kerana kedua-duanya bukan saksi material kepada kes pendakwaan.

Hujah Sri Ram, sebaliknya keterangan seorang ahli perniagaan, Datuk Ahmed Farid Zainul Abidin (saksi pendakwaan kesembilan) menyokong keterangan Rizal bahawa penyerahan wang benar-benar berlaku dan kedua-dua beg berkenaan berada dalam pemilikan Rosmah.

Sehubungan itu, kedua-dua pembantu kediaman tersebut tidak perlu dipanggil memberi keterangan kerana keterangan Rizal adalah mencukupi bagi membuktikan penyerahan wang di kediaman tertuduh di Langgak Duta.

Mahkamah diberitahu oleh pihak pembelaan bahawa wang RM1.5 juta tidak diserahkan secara peribadi kepada Rosmah kerana beg berisi wang tersebut tidak dibuka di hadapan tertuduh untuk melihat isi kandungannya.

Bagaimanapun Sri Ram menghujahkan, penyerahan wang tidak perlu dipertikaikan kerana wang RM1.5 juta itu ditunaikan oleh Saidi yang kemudian meletakkannya dalam beg sebelum dibawa ke kediaman Rosmah dan tertuduh menyedari penyerahan berlaku.

Sri Ram selanjutnya berhujah, pihak pembelaan menyerang kredibiliti Rizal selaku saksi pendakwaan kononnya bekas pembantu Rosmah tersebut meminta rasuah untuk dirinya dan menggunakan wang tersebut untuk kegunaan sendiri tanpa pengetahuan isteri bekas Perdana Menteri itu.

Sri Ram menghujahkan, Rizal tidak mungkin mengambil tindakan seperti itu kerana sebagai pekerja Rosmah, dia akan menerima akibat yang buruk jika berkelakuan sedemikian.

Sementara itu Akberdin berhujah, Rizal disifatkan sebagai perancang utama kerana menggunakan hubungan dengan tertuduh untuk mendapatkan tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid untuk
Saidi dan rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah.

Hujah beliau, tawaran wang yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah idea Saidi dan Rayyan Radzwill, sebagai sumbangan politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, bukan untuk diberikan kepada Rosmah.

Hujah peguam bela, sumbangan politik itu sepatutnya untuk Najib sebagai ‘tanda berterima kasih’ kerana menyokong permohonan Jepak mendapatkan projek solar selain memastikan kemenangan Barisan
Nasional pada pilihan raya umum ke-14.

Pembelaan turut menyatakan, tiada bukti menunjukkan Rosmah meminta sebarang peratusan nilai kontrak daripada Saidi atau Rayyan Radzwill antara Januari hingga April 2016.

Hujah pembelaan, Saidi tidak berkata benar dan memberi keterangan yang bercanggah berhubung apa yang dilakukannya dengan wang RM1.5 juta yang ditunaikan pada 7 September 2017. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya