Keputusan buka sekolah bebankan ibu bapa - Utusan Malaysia

Keputusan buka sekolah bebankan ibu bapa

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Keputusan Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula 1 Mac ini dianggap telah membebankan sebahagian ibu bapa yang mengeluarkan belanja untuk membeli gajet dan peranti.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ibu bapa pastinya telah mengeluarkan sebahagian besar modal sebagai persediaan untuk anak-anak mereka belajar secara atas talian di rumah.

Katanya, pengumuman itu seperti tidak selari dengan pelancaran DidikTV KPM minggu lepas yang seperti menampakkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilanjutkan, tetapi sekolah pula akan dibuka minggu depan.

“Ini juga mencetuskan kekeliruan. Sudahlah ibu bapa sudah menghabiskan wang untuk membeli gajet, laptop dan tablet untuk anak-anak, ada pula pengumuman sekolah akan dibuka minggu depan.

“Jadi, wang beli laptop dan tablet itu sepatutnya sudah boleh guna buat beli baju sekolah, barang sekolah. Sekarang, kalau ibu bapa tidak ada wang pula bagaimana,” soalnya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tegas Syed Saddiq, keputusan yang dianggap seperti tergesa-gesa itu telah memberikan kekeliruan terutamanya para ibu bapa apabila beberapa pelaksanaan baharu diperkenal kementerian sebelum ini umpama tidak memberi manfaat.

“Saya juga keliru apabila keputusan flip flop ini dibuat. Jadi, (adakah) DidikTV ini sudah tidak jadi fokus lagi selepas sekolah dibuka? Mana 150,000 laptop yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021, pengumuman pada tahun lepas itu adalah kerana kerajaan sedang bersiap sedia untuk melanjutkan tempoh belajar dari rumah.

“Sehingga hari ini, tidak ada lagi berita atau khabar bila laptop ini akan diagihkan atau adakah laptop ini sudah tidak perlu memandangkan sekolah sudah dibuka semula,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, kelemahan dalam DidikTV KPM boleh diatasi jika saluran itu dilancarkan lebih awal.

“Benar, krisis pendidikan sudah berlaku sejak tahun lepas lagi. Mengapa DidikTV baru lancar minggu lepas. Saya tahu tidak ada program atau inisiatif yang benar-benar sempurna tetapi kalau lancar lebih awal sudah pasti banyak kelemahan akan dapat diatasi secara berperingkat.

“Ini hanya sebahagian kecil kekeliruan daripada orang ramai. Banyak lagi hal-hal lain yang menjadi rungutan ibu bapa dan guru-guru. Apa-apapun, Menteri Pendidikan harus segera beri respons dan tidak boleh menganggap business as usual sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya