GEORGETOWN: Selepas dikatakan masih menyayangi UMNO, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah boleh memainkan peranan menganjurkan rundingan mempelawa Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kembali ke pangkuan parti itu.
Cadangan itu disuarakan veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff yang berkata, Tengku Razaleigh adalah antara pemimpin yang masih dihormati semua pihak malah Dr. Mahathir sendiri pernah berjumpa dan berbincang dengan bekas Menteri Kewangan itu bagi mencari kaedah terbaik perpaduan orang Melayu.
Tambah beliau, atas kapasiti sebagai Penasihat UMNO, Tengku Razalegih boleh menasihati semua pihak supaya berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima semula Dr. Mahathir kembali ke pangkuan UMNO.
“Pemimpin dan ahli UMNO harus menyambut baik kenyataan Dr. Mahathir yang menegaskan beliau boleh kembali kepada UMNO jika parti terbesar orang Melayu itu berpegang kepada dasar awalnya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr. Mahathir dalam program ‘Bersama Tun M’ anjuran sebuah akhbar harian tempatan semalam mengakui boleh kembali kepada UMNO dengan syarat parti itu kembali kepada perjuangan asalnya.
Bekas Presiden UMNO itu turut mengakui masih sayangkan UMNO apatah lagi pernah menjadi Presiden selama 22 tahun, namun perasaan sayang itu tidak kepada pemimpinnya dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan mereka yang terbabit dalam kes-kes rasuah.
Menurut Mohd. Yussof, para pemimpin UMNO pada masa ini harus memikirkan masa depan orang Melayu dan mengetepikan kepentingan diri dan jawatan.
“Sudah tiba masanya para pemimpin UMNO benar-benar membuktikan mereka berjiwa besar.
“Jika mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang, mereka harus menerima sesiapa sahaja yang mahu kembali menyokong dan memastikan UMNO menang pada pilihan raya umum nanti,” katanya.