Kemalangan di Manjoi bukan kes langgar lari - Utusan Malaysia

Kemalangan di Manjoi bukan kes langgar lari

RAKAMAN CCTV kemalangan di antara sebuah kereta dan motosikal di Manjoi, Ipoh pada Khamis lalu. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Rakaman video kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Manjoi yang tular sejak Khamis lalu disahkan bukan kes langgar lari.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz sebaliknya berkata, pemandu wanita dalam kejadian itu telah pun membuat laporan polis pada hari sama kejadian.

Katanya, pihaknya telah pun mengambil keterangan wanita berusia 31 tahun itu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku di Jalan Tun Terang, Kampung Manjoi apabila sebuah kereta jenis Hyundai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung motosikal ditunggang seorang lelaki warga emas.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang berusia 65 tahun mengalami kecederaan iaitu patah kaki kanan,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pemandu kereta itu pada mulanya tidak menyedari kejadian tersebut di mana dia telah meneruskan perjalanan namun apabila kembali ke tempat kejadian mendapati ramai orang berkumpul.

Katanya, wanita itu kemudiannya segera ke balai polis bagi membuat laporan.

“Polis telah merakam percakapan wanita itu dan mangsa yang terlibat masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Video tular berdurasi 21 saat yang diperolehi melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan seorang penunggang motosikal melambung dan tercampak selepas bertembung dengan sebuah kereta.

Menerusi catatan warga maya pada video tersebut, mereka mendakwa kejadian berkenaan adalah kes langgar lari. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN