Keluarga reda jenazah Rabitah dikebumi di Australia - Utusan Malaysia

Keluarga reda jenazah Rabitah dikebumi di Australia

GAMBAR kenangan Rushaniena Izani (kanan) bersama ibunya, Rabitah Hamed yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Griffith, Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Walaupun hajat untuk membawa pulang jenazah Rabitah Hamed, 49, yang maut dalam kemalangan di Australia tidak kesampaian, namun, keluarganya reda dan beranggapan ia adalah yang terbaik untuk Allahyarham.

Anak sulung Rabitah, Rushaniena Izani, 26, berkata, dia dan adik beradik lain, Ridwana Ardini, 19, dan Rafiq Afif, 14, serta anggota keluarga yang lain mengambil masa beberapa hari untuk berbincang mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan membenarkan Allahyarham dikebumikan di Griffith, New South Wales semalam.

“Arwah selamat dikebumikan selepas waktu Zuhur semalam di tanah perkuburan Islam, Griffith dengan bantuan rakan-rakannya di sana. Kami hanya melihat melalui panggilan video sahaja. Kami sangat berterima kasih kepada semua yang menyempurnakan pengebumian ibu.

“Kami semua sempat menatap wajah ibu buat kali terakhir. Alhamdulillah bersih wajah ibu walaupun sudah dua minggu dan ibu selamat disemadikan oleh rakan dan masyarakat Islam di sana. Berat memanglah tetapi kami sekeluarga reda, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Online pada 9 Februari lalu melaporkan Rabitah meninggal dunia pada 8 Februari lalu setelah kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan.

Allahyarham merupakan seorang ibu tunggal dilaporkan bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam di Griffith sejak Februari tahun lepas dan dijangka pulang ke tanah air selepas lima tahun.

Difahamkan jenazah Rabitah dituntut oleh rakan-rakannya dari Hospital Newcastle, New South Wales pada 16 Februari lepas sebelum dibawa ke Griffith untuk dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Jamia, Griffith selepas waktu Zuhur kira-kira pukul 1.30 petang semalam oleh masyarakat Islam di situ.

Menurut Rushaniena, mereka sekeluarga tidak berhajat menangguh lagi pengebumian itu apatah lagi sudah 10 hari Rabitah meninggal dunia.

“Usaha membawa pulang mungkin akan ambil masa lebih lama, jadi kami reda. Biarlah arwah dikebumikan di sana. Kami yakin itulah yang terbaik.

“Insya-Allah kalau kami ada duit nanti kami akan ke sana menziarahi kubur ibu suatu hari nanti. Itu impian kami,” katanya.

Rabitah meninggal dunia pada 8 Februari lalu setelah kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan.

Allahyarham merupakan seorang ibu tunggal dilaporkan bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam di Griffith sejak Februari tahun lepas dan dijangka pulang ke tanah air selepas lima tahun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya