HULU TERENGGANU: Warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar seorang diri dari kediamannya di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini Rabu lalu.
Kehilangan Lijah Embong, 81, yang tinggal bersendirian itu disedari anaknya yang datang menjenguk mangsa pada hari sama.
Mangsa dikatakan mempunyai tabiat gemar berjalan-jalan di sekitar kampung, namun, lazimnya balik ke rumah menjelang petang.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang keuzuran kebelakangan ini baru dihantar pulang oleh cucunya selepas ditemukan berjalan-jalan sendirian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd. berkata, operasi mengesan mangsa diaktifkan selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.22 malam.
Katanya, pencarian hari kedua diperluaskan dalam radius tiga kilometer dengan kekuatan 68 orang termasuk bomba, polis dan penduduk kampung, namun, sehingga kini, belum menemukan sebarang petunjuk.
“Berdasarkan siasatan awal, kali terakhir mangsa dilihat berada di kawasan surau lama kelmarin, kira-kira pukul 3 petang,” katanya. -UTUSAN ONLINE