Kelewatan swasta punca kelewatan kesan kontak rapat - Utusan Malaysia

Kelewatan swasta punca kelewatan kesan kontak rapat

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelewatan hospital swasta dan makmal swasta melaporkan kes positif Covid-19 menyebabkan usaha mengesan kontak rapat terganggu, sekali gus mengganggu rekod harian yang dikumpul Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penelitian yang dilakukan bagi memperbaiki proses pengumpulan data mendapati kelewatan berlaku apabila pihak swasta gagal memaklumkan segera hasil ujian swab kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Katanya, sistem yang dibangunkan KKM sudahpun ada dan digunakan seluruh negara tetapi maklumat yang perlu dikemaskini secara harian dimasukkan lewat.

“Bagi memastikan ia tidak berulang, kita sudah mengeluarkan pekeliling kepada 23 makmal swasta untuk mereka memasukkan maklumat secepat mungkin.

“Sebelum ini, saya ada menerima maklumat mengenai pesakit dan apabila diperiksa, tiada maklumat yang dikemaskini hingga menyukarkan sebarang bentuk tindakan dapat dilakukan maka kita perbaiki sistem yang ada,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Libat Urus Darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan bagi siri 2/2021 yang diadakan secara maya.

Libat urus itu turut disertai Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar; Ketua Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. T Ravindran; Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK); Dr. Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr. Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Dr. Noor Hisham berkata, apabila kes bertambah maka KKM dan pengesanan kontak rapat semakin luas maka aspek pertambahan sumber manusia sedang dilihat.

Katanya, ini kerana pengesanan kontak rapat sepatutnya dibuat dalam tempoh 24 jam.

“Jika melihat kes Sabah pada permulaan gelombang ketiga dahulu, kita menghantar petugas dari negeri lain  bagi membolehkan pengesanan kontak rapat dan saringan dijalankan.

“Bagaimanapun, apabila semua negeri di semenanjung menunjukkan peningkatan maka semua negeri tidak dapat menghantar petugas mereka kerana mereka memerlukan petugas mereka untuk kes di negeri sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN