PUTRAJAYA: Pihak sekolah masih dibenarkan mengadakan kelas tambahan biarpun sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir 9 Februari lalu.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bagaimanapun kelas tambahan itu dibenarkan dengan persetujuan ibu bapa dan guru.
Beliau berkata, kelas tambahan itu adalah sebagai persediaan pelajar sehingga tamat peperiksaan.
“Apabila dimaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka berakhir 9 Februari lalu, hasrat kami ialah untuk memberi ruang kepada calon-calon peperiksaan membuat persediaan kendiri.
“Tujuannya adalah untuk membuka ruang kepada calon menggunakan masa yang ada dengan pendekatan paling sesuai,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Katanya, Kementerian Pendidikan komited untuk terus melakukan yang terbaik kepada calon SPM 2020.
Menerusi hantaran sama, Radzi turut berkongsi lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak, SMK Seri Titiwangsa dan SMK Keramat Wangsa di Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE