PADANG TERAP: Laluan tikus di kebun getah di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini dikesan menjadi lokasi menyeludup daun ketum ke negara jiran itu.
Kebanyakan penyeludup terbabit menggunakan jalan yang dilalui penoreh getah itu pada awal pagi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, aktiviti itu terbongkar selepas tiga lelaki tempatan yang menjalankan kegiatan menyeludup daun ketum ditahan anggota tentera yang bertugas pada Op Benteng dan Op Pagar di sini pada Khamis lalu dan semalam.
Menurutnya, tiga lelaki berusia 22 hingga 30-an itu ditahan ketika cuba memasuki kawasan hutan di sempadan untuk menyeludup daun ketum tersebut.
Katanya, kesemua mereka yang mendapatkan bekalan daun ketum dari sekitar daerah ini ditahan di lokasi yang hampir sama di kawasan berkenaan.
“Penyeludup terbabit juga yang dipercayai menerima upah sebanyak RM200 daripada pembekal daun ketum untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini.
Turut hadir Pegawai Pemerintah, Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, Lt. Kol. Mazli Mohamed Sain.
Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan daun ketum yang dirampas dalam tempoh dua hari itu ialah sebanyak 1.7 tan metrik bernilai kira-kira RM15,000.