GEORGETOWN: Kawalan keselamatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini ditingkatkan selepas kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di kedua-dua hospital berkenaan yang dijadikan Pusat Simpanan Vaksin (PSV) hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, vaksin berkenaan selamat tiba ke HPP dan HSJ awal pagi ini dengan kenderaan membawa vaksin itu diiringi pihak polis.
Katanya, kenderaan yang membawa vaksin Covid-19 itu bergerak kira-kira pukul 8 pagi dari gudang penyimpanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke ke HPP dan bergerak ke HSJ pukul 9 pagi.
“Tarikh dan masa untuk penghantaran vaksin daripada PSV ke lima daerah di negeri ini akan ditentukan oleh Jabatan Kesihatan negeri kelak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebanyak 16,000 dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 5.35 petang semalam menggunakan pesawat khas yang berlepas dari Hong Kong dan transit di Singapura sebelum tiba di sini.
Menurut beliau, sebanyak 6,000 anggota polis negeri ini akan menerima vaksin Covid-19 secara berperingkat.
“Saya bersedia untuk menjadi anggota polis pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Selain itu, kita juga akan dahulukan anggota polis yang bertugas di barisan hadapan sebagai penerima vaksin ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE