Kaunter Baitulmal kini dibuka di seluruh Kelantan - Utusan Malaysia

Kaunter Baitulmal kini dibuka di seluruh Kelantan

TENGKU MOHAMAD RIZAM TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membuka lima lagi Kaunter Baitulmal di masjid bandar di lima jajahan yang belum memiliki kemudahan itu.

Kaunter Baitulmal Maik sebelum ini dibuka di masjid bandar di Tanah Merah, Machang, Pasir  Puteh, Jeli dan Kuala Krai sejak Mei lalu.

Dengan penambahan ini, setiap jajahan di seluruh negeri kini mempunyai Kaunter Baitulmal di masjid bandar masing-masing.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Kaunter Baitulmal diwujudkan bagi membantu memudahkan orang ramai di luar Kota Bharu membayar zakat.

“Selepas ini orang ramai tidak perlu datang ke Ibu Pejabat Maik di Lundang, di sini untuk berbuat demikian.

“Kemudahan ini juga disediakan susulan daripada Covid -19 yang melanda negara sejak lalu,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan Maik Tahun 2020 di Kompleks Islam Jubli Perak di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Timbalan Yang Dipertua Maik,  Zulkifle Ab. Rahman.

Turut diadakan, pengurniaan sumbangan RM50,000 oleh Ketua Jajahan Pasir Mas untuk diserahkan kepada ketua-ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat tanah runtuh di Pasir Mas, minggu lalu.

Dalam pada itu, Tengku Mohamad Rizam berkata, perkhidmatan bayaran zakat di kaunter tersebut didapati antara faktor penyumbang kepada peningkatan jumlah zakat diterima Maik tahun lalu.

Katanya, sebanyak RM202 juta kutipan pelbagai zakat diperolehi sepanjang tahun lalu berbanding RM194 juta pada 2019.

“Bagi tahun 2020, sebanyak RM185 juta digunakan untuk diagihkan kepada asnaf yang layak menerusi 30 program yang kita laksanakan manakala pada 2019, sebanyak RM189 juta digunakan bagi tujuan sama,” katanya.

Tambah Tengku Mohamad Rizam, secara keseluruhan kutipan zakat meningkat kecuali zakat perniagaan yang berkurangan kesan daripada pandemik Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN