JOHOR BAHRU: Dua individu berserta sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan kerana terlibat dalam sindiket kartel daging sejuk beku import yang didedahkan, Disember lalu.
Tertuduh, Chong Kim Kuang, 48, yang merupakan pengurus syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd. dan Yong Chee Keong, 40, yang juga pengarah syarikat sama mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.
Malah, Chee Keong yang mewakili syarikat berkenaan atas kapasiti sebagai pengarah turut membuat pengakuan tidak bersalah bersabit dengan tujuh pertuduhan terhadap syarikat itu.
Seorang lagi tertuduh, Tan Siew Huak, 42, yang juga pengarah syarikat terbabit bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama syarikat itu didakwa menggunakan perihal dagangan palsu berkaitan logo Halal Islamic Co-ordinating Council of Victoria dan Perth Mosque Incorporated pada 3,418 unit kotak makanan sejuk beku.
Kesemua mereka juga didakwa menawar barangan berkenaan atas label GBP Australia Pty. Ltd. dan Ararat Meat Exports Pty. Ltd. yang menggunakan logo Halal Australia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam.
Perbuatan itu bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Selain itu, mereka turut didakwa atas kesalahan memiliki barangan berkenaan yang menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan GBP Australia dan Ararat Meat Exports.
Semua kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis beralamat No. 663 Jalan Idaman 3/4, Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, dalam daerah Kulai pada pukul 3.30 petang, 1 Disember tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Onn Abd Aziz; Kwan Li Sa; Syazwani Zawawi; T. Ashivinii dan Kee Shu Min manakala tertuduh diwakili barisan peguam Zamri Idrus; Yusman Che Aman dan Saiful Zaman Abd. Rahman.
Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap dua minggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Mahkamah menetapkan 28 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE