Kanak-kanak 2 tahun perlu RM70,000 jalani pembedahan jantung - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 2 tahun perlu RM70,000 jalani pembedahan jantung

MUHAMMAD Aliff Farhan Md. Saad, 2, memerlukan dana sebanyak RM70,000 bagi menjalani pembedahan segera selepas disahkan menghidap penyakit jantung berlubang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Orang ramai dirayu menghulurkan sumbangan bagi membolehkan seorang kanak-kanak pesakit jantung berusia dua tahun dari Sungai Petani, Kedah menjalani pembedahan segera.

Muhammad Aliff Farhan Md. Saad ketika ini memerlukan dana sebanyak RM70,000 bagi menjalani pembedahan itu selepas disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Chua Sui Hau berkata, keluarga Muhammad Aliff Farhan terpaksa beberapa kali menangguhkan pembedahannya kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

Menurut beliau, kanak-kanak itu ketika ini bernasib baik kerana penyakitnya masih dapat dikawal dengan pengambilan ubat dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, berdasarkan makluman doktor, keadaan kanak-kanak itu sudah memasuki tahap yang memerlukannya menjalani pembedahan segera apatah lagi keadaan kesihatannya juga semakin merosot.

“Menurut doktor, pembedahan perlu dilakukan segera kerana masalah itu akan menyebabkan kegagalan hati yang boleh merisikokan nyawanya.

“Doktor juga mengesyorkan berat badannya mencapai lapan kilogram (kg) atau lebih untuk menjalani pembedahan dan ketika ini adalah waktu yang sesuai kerana dia sudah mencapai 8.5 kg,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sui Hau berkata, selain perlu menanggung perbelanjaan Muhammad Aliff Farhan, pasangan Nor Azura Zainol, 36, dan Md. Saad Hamid, 47, turut mempunyai lima lagi cahaya mata termasuk anak sulung berusia 19 tahun.

Katanya, ibu Muhammad Aliff Farhan merupakan pekerja pembersihan di sebuah hospital kerajaan di Kedah dengan pendapatan RM1,200 sebulan manakala ayahnya yang bekerja kampung tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Mereka yang terdesak untuk pembedahan segera itu telah datang kepada kami bagi merayu bantuan kerana perlu dilakukan segera di sebuah hospital swasta dengan kos RM70,000,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 04-5059800, 016-4192192 atau 019-2322192 atau emel ke [email protected]. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN