MACHANG: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah nasih seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di sini yang terpaksa memohon simpati orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi menampung kehidupannya yang berubah akibat penyakit kencing manis.
Semuanya bermula lebih sebulan lalu apabila dia bertungku selama 12 jam gara-gara kakinya berasa kebas sebelum didapati melecur teruk dan melarat menjadi kudis serta mula membusuk.
Lama kelamaan, Abdullah Hussain, 55, tidak lagi mampu berjalan sehingga dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sejak sebulan lalu.
Lelaki itu kini terlantar di rumahnya di Kampung Senawang, di sini dan bergantung hidup kepada isteri Hasnah Mahmood, 52, yang menoreh getah dengan upah sekitar RM300 sebulan.
Menurut Hasnah, sebelum kejadian itu, suaminya minta untuk ditungku untuk menghilangkan rasa kebas di kaki.
“Selepas 12 jam selesai bertungku, kedua-dua kaki suami berasa sakit dan didapati melecur teruk di beberapa bahagian di kaki kiri, termasuk tapak kaki.
“Dengan bantuan anak, dia dibawa ke Klinik Kesihatan Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman mereka hari ini.
Hasnah berkata, doktor memaklumkan kaki kiri Abdullah terpaksa dipotong segera kerana kuman sudah merebak ke bahagian tulang, buah pinggang dan hati.
“Tetapi dia tidak sanggup kakinya dipotong dan meminta kebenaran doktor untuk pulang ke rumah kerana mahu ikhtiar cara tradisional,” katanya.
Sejak Abdullah terlantar sakit, Hasnah bergilir-gilir dengan anaknya yang tinggal berdekatan untuk mengurus makan minum, mencuci kudis dan menukar lampin pakai buangnya.
“Dengan pendapatan menoreh getah, memang tidak cukup untuk membeli ubat serta barang keperluan suami termasuk lampin pakai buang.
“Saya juga terpaksa menjaga seorang cucu berusia empat tahun yang kematian ibunya sejak setahun lalu selain menyara seorang lagi anak yang masih belajar di tingkatan tiga,” katanya.
Sekiranya ingin membantu keluarga itu, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Islam 03-045-02-2109985 atas nama Hasnah Mahmood atau menghubunginya di talian 013-9922846. -UTUSAN ONLINE