Kadar kompaun RM1,000 terlalu kecil bagi majikan - Utusan Malaysia

Kadar kompaun RM1,000 terlalu kecil bagi majikan

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar kompaun Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sedang dikaji bagi membolehkan majikan didenda lebih mahal dan adil untuk semua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kompaun ketika ini berada pada paras maksimum iaitu hanya RM1,000.

Katanya, kajian ini dibuat apabila melihat kepada kadar kepada individu dan kepada majikan atau kilang yang besar serta mempunyai ramai pekerja.

“Ada dalam kalangan majikan yang pekerjanya dijangkiti Covid-19 sehingga berlaku kluster tetapi majikan itu hanya dikenakan denda RM1,000.

“Bagi kilang yang besar dan mempunyai ratusan pekerja di mana, tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kompaun RM1,000 tidak memadai maka di sinilah, kajian bagi meningkatkan kadar kompaun mengikut kesesuaian dibuat,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Libat Urus Darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan bagi siri 2/2021 yang diadakan secara maya.

Libat urus itu turut disertai Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. C Suresh Kumar; Ketua Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. T Ravindran; Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK); Dr. Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr. Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Dalam perkembangan membabitkan perbezaan ketara harga bagi ujian RT-PCR dan RTK-Antigen di klinik dan hospital swasta, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya sedang mengkaji keperluan bagi penetapan dan kawalan harga ujian terbabit sepertimana dilakukan ke atas pelitup muka

“Melihat situasi tahun lalu, harga pelitup muka 30 sen meningkat secara mendadak sehingga memerlukan penetapan dan kawalan harga dilakukan kerana ia penting bagi semua pihak terutama masyarakat.

“Setakat ini tiada akta khusus yang membolehkan harga bagi dua ujian terbaboit ditetapkan tetapi berdasarkan akta sedia ada, pesakit berhak dimaklumkan kadar bayaran bagi perkhidmatan itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN