Jumlah pekerja asing disaring positif melonjak kepada 230 orang - Utusan Malaysia

Jumlah pekerja asing disaring positif melonjak kepada 230 orang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan Covid-19 di seluruh negara semalam menyaksikan lonjakan besar yang disahkan positif wabak itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah direkodkan Kementerian Sumber Manusia ialah 230 orang berbanding hanya 78 dicatatkan kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 8,024 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 296,903 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 12,681 majikan.

Daripada jumlah berkenaan katanya, cuma 5,729 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut tersebut, manakala selebihnya iaitu seramai 291,174 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,264 klinik terlibat dalam program khas itu selari arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Buat permulaan, arahan itu diwajibkan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Mulai 1 Februari, ujian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi kepada baki sembilan buah negeri lain dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Kementerian Sumber Manusia menetapkan tempoh akhir sehingga 28 Februari ini kepada semua majikan di seluruh negara melakukan saringan untuk pekerja asing digajikan mereka.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan dilapor menegaskan, majikan gagal berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak diperbaharui. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN