Jumlah ingkar SOP turun lagi kepada 463 individu - Utusan Malaysia

Jumlah ingkar SOP turun lagi kepada 463 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam terus catat penurunan untuk hari yang ketiga berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya 463 individu diberkas dan daripada jumlah itu, 440 dikompaun, 22 lagi direman dan baki seorang dijamin.

“Kesalahan paling tinggi ialah tidak patuh jarak fizikal sebanyak 161 individu diikuti rentas kawasan tanpa kebenaran dengan 96 individu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, ujarnya, gagal menyediakan alat rekod butiran (82), tidak memakai pelitup muka (75), premis beroperasi lebih masa (8), aktiviti pusat hiburan (6) dan pelbagai kes lain sebanyak 35 kes.

 Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 66,145 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,562 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 15,396 anggota semalam telah memantau sejumlah 5,828 restoran, 4,160 pasar raya, 4,065 bank, 3,495 rumah ibadah, 2,489 penjaja dan 2,257 pasar awam.

Turut dipantau oleh anggota pasukan tersebut di seluruh negara semalam ujar beliau ialah sebanyak 1,854 buah kilang, 1,724 tempat riadah dan 961 pejabat kerajaan.

Seramai 52 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong berjaya ditahan melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

“Tujuh kenderaan darat dirampas selain 102 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara menerusi lima aktiviti penglihatan,” kata Ismail Sabri lagi.

Op Benteng itu ujar beliau, turut mengadakan 542 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 91 operasi sanitasi awam juga dilakukan semalam yang meliputi sebanyak 39 zon merah, enam zon jingga dan tujuh zon kuning.

Ia ujarnya, melibatkan penugasan seramai 392 anggota bomba selain 196 anggota pihak berkuasa tempatan dan 36 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 53 jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 1,029 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 124,798 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 71 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 625 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 118,462 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 507 peruncit, 158 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu tambahnya, juga melakukan 1,633 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan lima premis diberi nasihat, manakala tiga lagi dikenakan dikompaun.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut memeriksa di 69 tapak binaan seluruh negara semalam dengan semua premis didapati mematuhi SOP dan satu tidak beroperasi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya