Jumlah ingkar SOP naik lagi kepada 877 individu - Utusan Malaysia

Jumlah ingkar SOP naik lagi kepada 877 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan ditahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada semalam terus melonjak lagi untuk rekod tiga hari berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 877 individu berjaya diberkas berbanding 759 individu kelmarin dan 680 individu pada sehari sebelum itu.

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 57,918 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 2,910 pasukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah mereka yang ditahan tersebut, seramai 806 individu dikenakan kompaun manakala baki 71 lagi direman,” kata beliau menerusi kenyataan akhbar di ibu negara hari ini.

Kesalahan paling tinggi ujar beliau lagi ialah tidak patuh jarak fizikal (253), rentas kawasan tanpa kebenaran (177), aktiviti pusat hiburan (101) dan tiada memakai pelitup muka (98).

Tidak ketinggalan yang dikesan pada hari kedua Tahun Baharu Cina tersebut ialah kesalahan premis gagal menyediakan peralatan rekod butiran pelanggan (82) dan lain-lain kes (166).

Beliau juga menambah, 14,071 anggota semalam telah memantau sejumlah 5,630 restoran, 4,212 pasar raya, 3,650 bank, 2,385 penjaja, 1,570 kilang dan 664 buah pejabat kerajaan.

Turut dipantau tambah Ismail Sabri lagi, ialah sebanyak 1,017 buah terminal pengangkutan darat, 268 terminal pengangkutan air dan 76 terminal pengangkutan udara di seluruh negara.

Seramai 45 pendatang asing tanpa izin dan lima tekong juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan kes Covid-19.

“Lapan kenderaan darat dirampas, manakala 531 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 101 bot dicurigai dekat perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” katanya.

Ismail Sabri memaklumkan sejumlah 73 operasi sanitasi awam juga dibuat semalam yang meliputi sebanyak 31 zon merah, enam zon jingga dan lima zon kuning di seluruh negara.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 365 anggota bomba selain 206 anggota pihak berkuasa tempatan dan 36 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 64 jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 494 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 120,928 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 72 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 566 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 114,643 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 590 peruncit, 125 pemborong dan 31 pengilang.

Penguat kuasa kementerian tersebut ujar beliau, turut melakukan sebanyak 2,939 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya tiga premis terbabit telah diberikan nasihat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN