Jumlah ingkar SOP naik lagi kepada 747 individu - Utusan Malaysia

Jumlah ingkar SOP naik lagi kepada 747 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah individu ditahan semalam naik lagi kepada 747 berbanding 731 individu kelmarin atas pelbagai kesalahan iaitu ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua mereka diberkas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 70,548 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,204 pasukan di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 723 dikompaun dan 24 direman dengan kes tertinggi ialah tidak memakai pelitup muka iaitu seramai 159 individu.

“Diikuti gagal sedia alat rekod butiran diri (156), tiada jarak fizikal (140), merentas kawasan tanpa izin (113), operasi premis lebih masa (50) dan lain-lain (129),” katanya melalui kenyataan.

Beliau menambah, 14,232 anggota semalam telah memantau sejumlah 5,676 restoran, 3,994 pasar raya, 3,566 bank, 2,322 penjaja dan 1,690 kilang dan 819 pejabat kerajaan

Turut dipantau ujar beliau lagi, ialah sejumlah 962 terminal pengangkutan darat selain 1,537 terminal pengangkutan air dan 92 terminal pengangkutan udara di seluruh negara.

Seramai tiga pendatang asing tanpa izin ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan kes Covid-19.

“Lima kenderaan darat dan sebuah bot dirampas, manakala 607 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 142 buah bot atau kapal asing dicurigai dekat perairan negara,” jelasnya.

 Ismail Sabri juga memaklumkan sejumlah 129 operasi sanitasi awam meliputi 52 zon merah, empat zon jingga, tiga zon kuning dan satu zon hijau dilakukan di seluruh negara semalam.

 Ia ujar beliau, melibatkan penugasan 809 anggota bomba selain 203 anggota pihak berkuasa tempatan, 57 dari agensi lain dan dengan penggunaan sejumlah 145 buah jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 473 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.

“Sejumlah 116,914 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 74 buah hotel serta 14 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 482 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 108,819 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan pula kata beliau, membuat 42 pemeriksaan di seluruh negara dengan satu tapak binaan didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 530 peruncit, 165 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,873 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 17 diberikan nasihat, tujuh dikenakan amaran dan 15 lagi premis dikompaun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN