Jumlah ingkar SOP naik lagi kepada 493 individu - Utusan Malaysia

Jumlah ingkar SOP naik lagi kepada 493 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam terus naik lagi untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 493 individu ditahan berbanding cuma 461 individu kelmarin dan 443 individu direkodkan hari sebelumnya.

“Daripada jumlah itu, 484 dikompaun dan sembilan direman dengan kesalahan tertinggi ialah merentas kawasan tanpa kebenaran sebanyak 133,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Diikuti tidak patuh jarak fizikal (132), gagal sedia alat rekod butiran diri (117), tidak memakai pelitup muka (70), aktiviti pusat hiburan (15), operasi premis lebih masa atau tanpa izin (13).

Tidak ketinggalan diberkas, ujar beliau lagi ialah individu didapati keluar rumah tanpa alasan munasabah (5), aktiviti sukan tidak dibenarkan (2) pelbagai kesalahan ingkar yang lain (6).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 70,696 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,060 pasukan di seluruh negara.

Beliau menambah, 14,109 anggota semalam telah pun memantau sejumlah 5,894 restoran, 4,514 pasar raya, 4,217 bank, 2,697 penjaja, 2,142 pasar awam/tani serta 1,673 kilang.

Ismail Sabri memaklumkan, turut dipantau ialah 733 pejabat kerajaan selain 2,044 terminal pengangkutan darat, 320 terminal pengangkutan air dan 104 terminal pengangkutan udara.

Seramai 20 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) juga berjaya ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

“Juga 17 kenderaan darat dirampas selain 102 bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara menerusi lima aktiviti penglihatan,” tegas beliau lagi.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 507 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 90 operasi sanitasi awam juga dilakukan semalam meliputi 31 zon merah, sembilan zon jingga, tujuh zon kuning dan satu zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 480 anggota bomba selain 190 anggota pihak berkuasa tempatan dan 63 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 97 jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 776 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 127,382 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 74 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 649 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 119,981 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 544 peruncit, 138 pemborong dan 31 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,610 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan tiga premis diberi nasihat manakala selebihnya didapati mematuhi peraturan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN