Jumlah ingkar SOP melonjak drastik kepada 950 individu - Utusan Malaysia

Jumlah ingkar SOP melonjak drastik kepada 950 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) naik mendadak semalam dengan 950 berbanding 789 kelmarin.

Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 63,635 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,027 pasukan di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 838 dikompaun, 93 direman dan 19 lagi dijamin dengan kes tertinggi ialah tidak patuh jarak fizikal sebanyak 217.

“Diikuti rentas kawasan tanpa izin (209), tiada pelitup muka (180), gagal sedia alat rekod butiran diri (117), operasi premis lebih masa atau tanpa izin (41),” katanya melalui kenyataan.

Tidak ketinggalan kes aktiviti pusat hiburan (39), keluar rumah tanpa alasan munasabah (30), membawa penumpang berlebihan (19), ingkar perintah kuarantin (15) dan lain-lain (83).

Beliau juga menambah, 13,126 anggota semalam telah memantau sejumlah 5,360 restoran, 3,901 pasar raya, 3,684 bank, 2,442 penjaja, 1,506 kilang dan sebanyak 681 pejabat kerajaan

Turut dipantau ujar beliau lagi, ialah sejumlah 1,011 terminal pengangkutan darat selain 240 terminal pengangkutan air dan 75 terminal pengangkutan udara di seluruh negara.

Seramai 24 pendatang asing tanpa izin ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan kes Covid-19.

“Dua kenderaan darat dan dua bot dirampas, manakala 540 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 121 buah bot atau kapal asing dicurigai berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri memaklumkan sejumlah 59 operasi sanitasi awam meliputi sebanyak 32 zon merah, dua zon jingga, empat zon kuning dan satu zon hijau di seluruh negara semalam.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 300 anggota bomba selain 178 anggota pihak berkuasa tempatan dan lima agensi lain dengan penggunaan sejumlah 49 jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 532 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.

“Sejumlah 118,347 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 72 buah hotel serta 14 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

“Seramai 501 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 110,776 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan pula kata beliau, membuat 11 pemeriksaan di seluruh negara dengan kesemuanya didapati beroperasi dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 525 peruncit, 147 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 2,639 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya empat premis diberi amaran manakala 11 lagi premis dikenakan kompaun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN