SHAH ALAM: Kes ‘Ibu Yati’ yang didakwa membawa ajaran sesat Agama Melayu disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas (JSJT) Bukit Aman.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, Bukit Aman mengambil kes tersebut susulan menerima beberapa laporan polis melibatkan individu terbabit di beberapa negeri lain termasuk Selangor.
“Polis Selangor menerima beberapa laporan polis berhubung ajaran Islam Melayu yang dibawa individu dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, tular video memaparkan ritual pelik agama Melayu yang didakwa disebarkan oleh Ibu Yati.
Agama Melayu itu dikatakan menggunakan lafaz syahadah yang pelik (ila ha ila ra ila ma) dan disambung dengan pengakuan ‘aku Melayu’ sebanyak tujuh kali.
Ajaran itu juga menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab kononnya mereka membawa Islam Melayu.
Bagaimanapun, Ibu Yati atau Noor Hayati Wan Alias, 41, membuat laporan polis dan memberi tempoh tujuh hari kepada Nasruddin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana membuat tohmahan dan fitnah terhadapnya kerana membawa ajaran sesat dan agama baharu itu.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan beliau ada mekanisme dalam penentuan sesuatu ajaran sesat. -UTUSAN ONLINE