Johor sasar 80 peratus penduduk terima vaksin Covid-19

Johor sasar 80 peratus penduduk terima vaksin Covid-19

R. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyasarkan sehingga 80 peratus penduduk di negeri ini akan menerima suntikan vaksin imunisasi Covid-19 dalam usaha menghentikan penularan pandemik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, pemberian vaksin berkenaan akan dilakukan dalam tiga fasa.

Jelasnya, fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan, fasa kedua membabitkan golongan warga emas dan penghidap penyakit kronik, manakala fasa ketiga melibatkan masyarakat umum.

“Kerajaan negeri berharap pemberian suntikan bagi fasa pertama vaksin ini dapat dimulakan seawal 1 Mac ini dan diselesaikan menjelang April.

“Kami amat menitik beratkan agar program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana pelaksanaannya merupakan agenda tetap Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, vaksin pertama untuk negeri Johor telah diterima pada 21 Februari lalu yang disambut Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Tambak Johor dan disimpan di empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

Menurut Vidyananthan, pihaknya turut menasihati masyarakat yang berasa was-was dengan pengambilan vaksin terbabit agar tidak mendorong atau menghasut orang lain untuk turut menolak vaksin itu.

“Sekiranya masyarakat sangsi tentang kesahihan dan keselamatan vaksin, mereka perlu mendapat nasihat dari pihak yang betul.

“Pengambilan vaksin ini adalah secara sukarela dan jika mereka takut mereka boleh menolaknya namun saya amat percaya dengan sistem penjagaan kesihatan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan. 

“Pengambilan vaksin dalam usaha mencegah penyakit adalah suatu perkara yang telah lama diamalkan oleh rakyat Malaysia, cuma bezanya vaksin ini melibatkan penyakit baharu,” ujarnya.

Kata beliau, kerajaan negeri juga menyasarkan untuk mencapai tahap pelindungan kumpulan atau ‘herd immunity’ sebanyak 70 peratus. 

Sementara itu, rakyat Johor juga disaran untuk segera mendaftarkan diri bagi penerimaan vaksin menerusi beberapa kaedah sama ada melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau pendaftaran di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN