Johor muktamad jumlah penerima vaksin fasa pertama - Utusan Malaysia

Johor muktamad jumlah penerima vaksin fasa pertama

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri dalam proses akhir memuktamadkan jumlah penerima vaksin di negeri ini termasuk petugas barisan hadapan bagi fasa pertama yang akan dibuat pada hujung bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, setakat ini, seramai 18,000 petugas Kementerian Kesihatan sudah dikenal pasti akan menerima suntikan vaksin.

Katanya, pihaknya masih belum mendapat maklum balas daripada agensi lain dalam pasukan barisan hadapan bagi memperoleh jumlah akhir penerima suntikan vaksin. 

“Kita sedang mengenal pasti dan melengkapkan senarai mereka yang akan menerima vaksin iaitu yang bukan daripada barisan hadapan kesihatan menerusi pelan imunisasi dijadualkan diberikan pada hujung bulan ini atau bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang di sini pada hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa memberitahu, vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad ini, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari.

Hasni berkata, ketika ini, persediaan sudah dilakukan di semua pengurusan jawatan kuasa bencana setiap daerah terutama mengenal pasti dewan orang ramai atau dewan serba guna untuk dijadikan tempat pemberian vaksin.

Beliau percaya jumlah tenaga kerja untuk pemberian vaksin tersebut di seluruh negeri adalah mencukupi.

“Bagi tempat vaksinasi, ia bergantung kepada daerah dan ia akan dibincangkan bersama dengan pegawai kesihatan daerah dan pegawai daerah sebagai pengerusi pusat pengurusan bencana daerah.

“Ada yang menggunakan klinik, pusat kesihatan mahupun dewan orang ramai. Kita akan memuktamadkan seberapa segera yang boleh khususnya dari segi senarai penerima vaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN