KLANG: Cubaan dua sindiket menyeludup minuman keras tumpas apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengesannya dalam serbuan berasingan baru-baru ini.
Malah, serbuan itu juga turut membongkar sebuah premis memproses dan membotolkan arak tiruan dengan penemuan alat-alat pemprosesan serta sejumlah setem cukai dipercayai tiruan.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya telah melakukan serbuan di Pelabuhan Utara dan Rawang serta menemukan 49,754 liter minuman keras yang bernilai RM2.66 juta termasuk cukai.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan empat lelaki masing-masing warga Kemboja dan Bangladesh berusia 23 dan 39 tahun.
“Serbuan pertama dilakukan pada 17 Februari lalu dengan mengesan sebuah kontena di Pelabuhan Utara kira-kira pukul 10 pagi.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap kontena dipercayai dari China ini menemukan 25,344 liter arak pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam dan untuk pasaran negara ini.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti ejen perkapalan yang terlibat dan sedang berusaha untuk mengesannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, operasi diteruskan dengan melakukan serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Sungai Choh, Rawang dekat sini kira-kira pukul 4 petang Isnin lalu.
Jelasnya, dalam serbuan itu, sebanyak 24,410.30 liter minuman keras tiruan dirampas dan menahan seorang lelaki warga Kemboja dan tiga warga Bangladesh.
“Premis ini telah dijadikan sebagai pengilangan (pembotolan) arak disyaki tiruan dengan penemuan alat-alat pemprosesan.
“Kita juga menemukan setem cukai dipercayai tiruan yang ditampal pada botol-botol minuman keras tersebut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. -UTUSAN ONLINE