Jelaskan segera pelan pemberian vaksin kepada rakyat  - Utusan Malaysia

Jelaskan segera pelan pemberian vaksin kepada rakyat 

JAGDEEP SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat diminta memberi penjelasan segera kepada rakyat mengenai pelan pemberian vaksin Covid-19 kepada 26.5 juta rakyat negara ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana pada masa ini ujian saringan Covid-19 melibatkan pekerja asing  masih belum dapat diselesaikan, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana proses pemberian vaksin itu akan berjalan. 

Menurut beliau, berdasarkan laporan seramai 26.5 juta rakyat akan diberi vaksin Covid-19 iaitu dianggarkan kira-kira 80 peratus daripada populasi penduduk. 

“Kita perlu tahu apa pelan untuk pastikan vaksin sampai kepada rakyat memandangkan saringan untuk pekerja warga asing pun masih tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan fasiliti. 

“Jadi bagaimana pula dengan proses pemberian vaksin nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pangsapuri Seri Pelangi, Jalan Samak, di sini hari ini. 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 26.5 juta atau 80 peratus individu akan menerima vaksin percuma menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hujung bulan ini. 

Muhyiddin berkata, program itu melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan. 

Menurut Jagdeep, maklumat yang jelas daripada Kerajaan Pusat diperlukan bagi memberi pemahaman kepada rakyat tentang bagaimana proses pemberian vaksin itu akan dijalankan. 

“Pelan untuk mengedarkan vaksin kepada 80 peratus penduduk negara ini perlu dijelaskan dengan teliti agar semua pihak dapat gambaran mengenainya,” katanya. 

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, beliau berharap penduduk negeri ini terutama yang menghuni skim bangunan strata dapat terus berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 terutama ketika Tahun Baharu Cina. 

“Di Pulau Pinang ada 2,000 skim bangunan strata, bayangkan berapa ramai penghuni yang tinggal di skim ini. 

“Oleh itu, semua penghuni perlu terus kekalkan disiplin dan patuh dengan SOP bagi memastikan kawasan masing-masing bebas daripada risiko jangkitan Covid-19,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN