BERUAS: Sembilan kuari di daerah Manjung dikenal pasti melakukan 52 kesalahan pelanggaran syarat kelulusan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Kesalahan itu dikesan dalam Op Gempur Kuari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak yang dilakukan secara bersepadu dengan agensi lain berkaitan di daerah Manjung, semalam dan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, antara kesalahan terbesar ialah gagal menyediakan sistem kawalan hakisan dan kelodakan yang berkesan ketika melakukan kerja-kerja tanah.
“Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan sistem tertutup ketika proses pemindahan batuan serta tidak menyediakan kolam penahan atau tadahan serta longkang bumi atau earth drain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai operasi itu di Dewan Orang Ramai Kampung Tanjung Batu, Pantai Remis dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul dan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains negeri, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil.
Mohd. Akmal berkata, berikutan itu sebanyak 42 kompaun dikeluarkan, sembilan Arahan di Lapangan dan 12 Notis Arahan juga dikeluarkan manakala 10 kertas siasatan dibuka.
Katanya, sebanyak enam kuari tersebut terletak di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang dekat Pantai Remis, yang dilanda kontroversi baru-baru ini apabila dua daripadanya dikatakan mencemar Air Terjun Sungai Batu dan kawasan Teluk Akuan berhampiran pesisiran pantai.
Menurut beliau, kedua-dua kuari tersebut sudah dikeluarkan Perintah Berhenti Kerja pada minggu lalu selain diberi arahan melakukan kerja-kerja pembaikan semula terhadap pencemaran yang dilakukan.
Katanya, keseluruhan sebanyak 11 kuari diberi lesen di daerah Manjung tetapi satu masih belum beroperasi manakala sebuah lagi sudah ditutup.
Mohd. Akmal juga berkata, tumpuan operasi kali ini adalah bagi memastikan pihak pemaju khususnya pemilik kuari sentiasa bersedia mematuhi kehendak perundangan ketika menjalankan projek mereka.
Selain itu, tegasnya, ia bagi menunjukkan keseriusan pihaknya dan agensi berkaitan dalam membanteras dan mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat EIA.
Katanya, operasi itu melibatkan 24 kakitangan JAS Perak dan agensi lain berkaitan, 20 anggota Jabatan Perhutanan negeri serta enam anggota Jabatan Mineral dan Geosains.
“Selain kuari, operasi ini juga melakukan pemeriksaan di dua projek perumahan serta sebuah projek pelabuhan yang didapati melakukan 10 pelanggaran syarat EIA yang mana tiga kertas siasatan dibuka,” katanya. – UTUSAN