JAS berjaya hantar 5,512 tan metrik sisa plastik tahun lalu - Utusan Malaysia

JAS berjaya hantar 5,512 tan metrik sisa plastik tahun lalu

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya membanteras pengimportan sisa plastik secara haram ke dalam negara ini selepas  menghantar semula 254 kontena ke negara pengeksport dengan anggaran berat 5,512 metrik tan sisa plastik bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu. 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain itu juga JAS berjaya menahan operasi 204 kilang kitar semula sisa plastik haram sepanjang tempoh terbabit. 

“Segala penghantaran yang dilakukan tanpa melibatkan sebarang kos oleh kerajaan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini. 

Tuan Ibrahim berkata, JAS komited dalam pelaksanaan aktiviti penguatkuasaannya bagi membendung pencemaran alam sekitar. 

Katanya lagi, ia selaras dengan komitmen kementerian dalam Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Pelan Strategik Kelestarian Alam Sekitar Di Malaysia 2020 – 2030. 

Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah JAS serta semua warga kerja jabatan itu di seluruh negara atas penganugerahan Asia Environmental Enforcement Awards 2020. 

Anugerah itu daripada United Nations Environment Programme (UNEP) di majlis Ceremony for the Asia Environmental Enforcement Awards 2020 secara virtual pada 17 Februari lalu.

“Penghargaan saya kepada semua agensi-agensi penguat kuasa di negara ini iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan semua pihak Berkuasa Pelabuhan yang merupakan kunci kepada kejayaan ini,” katanya. 

Katanya, kerjasama dan perkongsian maklumat pintar dengan agensi luar negara seperti ‘Competent Authority’ (CA) di bawah Basel Convention dan INTERPOL juga banyak membantu JAS. 

“Kerjasama ini berjaya membanteras pengimportan sisa plastik secara haram ke dalam negara ini dan sekaligus memerangi jenayah alam sekitar rentas sempadan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN