Jalani ujian swab dulu sebelum kembali ke kampus UMK  - Utusan Malaysia

Jalani ujian swab dulu sebelum kembali ke kampus UMK 

NOOR Azizi Ismail (kiri) menyerahkan sumbangan pelindung muka kepada Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi yang mewakili petugas media di Kelantan dalam majlis ringkas di UMK Kampus Bachok hari ini.-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kira-kira 2,000 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dijangka kembali ke tiga kampus universiti itu untuk menyambung semula pengajian bagi semester baharu bermula 1 Mac depan.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Noor Azizi Ismail berkata, penuntut dari zon merah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh itu dan mengemukakan keputusannya ketika mahu melapor diri.

“Jika didapati negatif, mereka masih perlu menjalani kuarantin selama 10 hari di bilik-bilik khas yang disediakan di Kampus Kota UMK di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

“Mereka diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk kita memastikan pandemik Covid-19 tidak menular dalam kalangan warga kampus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan pelindung muka atau face shield kepada para pengamal media di negeri ini yang bernaung di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).

Presiden Kemudi, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi dan Timbalannya, Zabidi Ishar menerima sumbangan itu bagi pihak Kemudi.

Mengulas lanjut, Noor Azizi berkata, penuntut yang kembali ke kampus ketika semester baharu bermula itu merupakan kumpulan yang memerlukan penggunaan makmal dan kemudahan lain di kampus ketika sesi pembelajaran.

“Selain pembelajaran secara fizikal, kelas secara dalam talian dan hibrid akan diteruskan seperti biasa.

“Semasa di kampus, semua penuntut diminta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan garisan panduan lain ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN