JAIP terima 8,000 naskah al-Quran, Yasin - Utusan Malaysia

JAIP terima 8,000 naskah al-Quran, Yasin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerima lebih 8,000 naskah al-Quran dan surah Yasin sumbangan Kelab Jemaah Kembara Al-Falah (Jembara) untuk diagihkan kepada masjid dan surau yang terjejas akibat banjir yang melanda bulan lalu.

Pengarah JAIP, Datuk Dr. Zulkifle Ali berkata, sumbangan itu akan diagih dan diserahkan kepada 55 masjid dan 33 surau di negeri ini yang mengalami kemusnahan  akibat ditenggelami banjir.

Menurutnya, hampir 3,000 naskah al-Quran dan 5,000 surah Yasin berjaya dikumpul hasil sumbangan jemaah dan ahli. dua masjid iaitu Masjid Sungai Isap Jaya dan Masjid Al-Falah dengan kerjasama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Sungai Isap Jaya.

“Semoga usaha murni ini dapat membantu masyarakat terutama di masjid-masjid ditenggelami banjir yang kebanyakan qurannya rosak dan musnah.

“Dengan bantuan dan sokongan ini dapat mudahkan mereka guna balik al-Quran menggantikan naskah yang musnah akibat banjir,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan al-Quran dan Yassin di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), di sini hari ini.

Zulkiflie berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan RM10,000 dan RM5,000, masing-masing kepada masjid dan surau bagi tujuan membaik pulih kerosakan yang dialami.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri turut membantu untuk membaiki kerosakan di masjid dan surau terbabit.

“Jumlah anggaran peruntukan untuk membaiki kerosakan belum diterima dan perlaksanaan kerja akan ditentukan Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jembara, Rahim Othman berkata, pihaknya mengambil masa 10 hari bagi mengumpul naskah berkenaan menerusi penganjuran kempen wakaf al-Quran.

“Kami terharu dengan kesedaran orang ramai yang bersimpati dengan musibah yang menimpa masjid dan surau menyebabkan kempen dilaksanakan.

“Kita terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan serahkan kepada JAIP untuk buat agihan dan penyerahan di masjid dan surau terbabit,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN