Jaguh Piala Thomas 1992 dapat anugerah Datuk Wilayah Persekutuan - Utusan Malaysia

Jaguh Piala Thomas 1992 dapat anugerah Datuk Wilayah Persekutuan

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pemain badminton yang pernah menjulang Piala Thomas kali terakhir diraih Malaysia pada 1992, dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW).

Mereka ialah Abd. Rashid Mohd. Sidek dan Cheah Soon Kit yang menerima pingat dengan membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 pada tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbar di sini hari ini berkata, dua individu tersebut antara 81 penerima dipilih untuk Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Mohd. Nardin Awang antara 24 individu menerima Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri. 

MOHD. NARDIN AWANG

Sejumlah 335 penerima bakal dikurniakan pelbagai Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat dalam majlis yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

“Ia setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.

Annuar berkata, walaupun istiadat belum diadakan, selaras peruntukan Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, individu-individu berkenaan sudah boleh memakai gelaran tersebut.

Beliau menambah, seramai enam individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

“Ini termasuk isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,” kata beliau.

Penerima anugerah tertinggi darjah kebesaran Wilayah Persekutuan itu didahului oleh tiga Yang Dipertua Negeri dengan masing-masing dari Pulau Pinang, Sabah dan Melaka.

Seorang lagi penerima SUMW ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Sementara itu, dua menteri Kabinet turut menerima anugerah SMW pada kali ini.

Mereka ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Tidak ketinggalan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Juga menerimanya ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Dr. Noordin Ab. Razak.

Manakala dua lagi jemaah menteri pusat antara penerima PMW iaitu Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Johan Mahmood dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Turut menerimanya ialah tokoh agamawan terkenal, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. AJib Ismail dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah.

Juga Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin; Sasterawan Negara, Prof. Dr. Siti Zainon Ismail dan penulis lirik lagu, Habsah Hassan.

Pengarah Media Pejabat Perdana Menteri, Hafiz Abdul Halim turut menerima anugerah Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

HAFIZ ABDUL HALIM

 

Annuar memaklumkan, 49 individu menerima Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Johan Mahkota Wilayah dan 76 lagi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima, Kesatria Mahkota Wilayah.

Seramai 31 individu pula menerima Darjah Kebesaran Pangkat Kelima, Ahli Mahkota Wilayah dan 68 lagi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh, Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN