Jadikan rakyat Malaysia warganegara digital - Utusan Malaysia

Jadikan rakyat Malaysia warganegara digital

Salleh Said Keruak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak menggesa kerajaan supaya memastikan rakyat Malaysia menjadi warganegara digital.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah banyak membantu meningkatkan kadar literasi digital masyarakat melalui media sosial terutamanya bagi mendapatkan laporan tepat mengenai perkembangan semasa.

“Norma baharu mengajar kita semua lebih berdikari dan menyesuaikan diri sebagai warganegara digital dalam melaksanakan pelbagai urusan seperti pendidikan, ekonomi mahupun sosial,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Mohd. Salleh berkata, peratusan penggunaan internet masih lemah di Malaysia.

“Statistik 2018 di laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan pengguna internet Malaysia ialah 28.7 juta orang atau 87.4 peratus.

“Tetapi hanya separuh menggunakan perbankan dalam talian iaitu 54.2 peratus. Ia merupakan jumlah yang sedikit dan boleh dipertingkatkan,” katanya.

Mohd. Salleh juga berpendapat pelbagai bentuk komunikasi boleh dijalankan antaranya perniagaan online, pembelajaran melalui aplikasi Google meet, Zoom selain hal-hal urusan kerajaan melalui laman web rasmi.

“Penglibatan masyarakat dalam teknologi digital perlu dipertingkatkan agar boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Ia lebih-lebih lagi dengan keadaan norma baharu yang amat memerlukan. Melalui komunikasi secara online juga rakyat pastinya akan mudah menyampaikan aspirasi kepada kerajaan.

“Teknologi digital juga membolehkan orang ramai berkomunikasi antara satu sama lain terutamanya keluarga serta rakan secara berkala, lebih-lebih lagi selepas PKP dilanjutkan lagi 2 minggu. Kita tidak dibenarkan merentas negeri bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menular,” katanya.

Justeru, Mohd. Salleh menganggap warganegara digital akan membantu negara mencapai status negara maju.

“Sebagai contoh, hanya dihujung jari, kita tidak perlu bersesak untuk ke pasaraya, pusat membeli-belah mahupun beratur untuk membuat pembayaran bil. Dalam keadaan kes Covid-19 yang tidak menentu, pengurusan transaksi dan komunikasi online adalah langkah yang tepat dan bijak.

“Saya percaya kita semua akan terus menjadi warganegara digital yang bijak dalam mencapai negara maju. Semoga pandemik Covid-19 akan beransur pulih agar ekonomi negara terus berkembang dan pulih,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya