PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kejayaan bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David merangkul Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, akan menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.
Perdana Menteri berkata, kemenangan itu membuktikan sumbangan, keringat dan aksi Nicol selama ini terus diperhatikan dunia walaupun bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu telah menggantung raket.
Katanya, beliau ingin berkongsi rasa bangga bersama seluruh peminat sukan tanah air, khususnya skuasy atas kejayaan Nicol yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.
“Saya berharap kejayaan Nicol dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini dan pemain pelapis yang sedang mengembangkan prestasi, jadikan kejayaan Nicol sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh,” katanya menerusi status yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya, sebentar tadi.
Muhyiddin berkata, dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Nicol.
“Tahniah Nicol. Anda Kebanggaan Negara. Tahniah Nicol. Syabas Malaysia,” katanya.
Semalam, Nicol dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia apabila menerima 318,943 undian yang diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.
Jumlah undian yang diterima Nicol itu jauh meninggalkan pencabar utamanya yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian untuk berada di tempat kedua. -UTUSAN ONLINE