Isteri ahli politik didakwa edar, tanam kanabis - Utusan Malaysia

Isteri ahli politik didakwa edar, tanam kanabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Isteri seorang ahli politik didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini dua tuduhan mengedar kanabis dan satu tuduhan menanam sembilan batang pokok dadah itu di sebuah rumah, dua minggu lalu.

Tuduhan pertama dan kedua,  Lyiana Roslee, 34, didakwa mengedar kanabis seberat 1580.4 gram dan dadah jenis sama dalam bentuk cecair berisi padu 7.87 liter.

Wanita berkenaan bersama-sama seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Duta Suria Residency, Ampang di sini pukul 7.30 malam pada 20 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh. Dia dilarang jamin.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Lyiana turut didakwa terhadap tuduhan ketiga menanam sembilan pokok disyaki kanabis yang diperolehi secara langsung atau tidak langsung.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi yang masih belum dituduh, pada waktu dan di tempat yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(A)(3) yang dibaca dibawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan. 

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md. Nor.

Majistret Farah Nasihah Anuar menetapkan 16 Februari ini bagi sebutan kes.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penahanan ahli politik berkenaan, isterinya serta pembantu rumah mereka bagi membantu siasatan pengedaran dadah jenis cecair ketamin di Fraser Business Park, Pudu, di sini baru-baru ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya