KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad selesai membayar baki ikat jamin sebanyak RM700,000 beberapa minit sebelum tempoh masa yang diberikan Mahkamah Tinggi di sini semalam tamat.
Semalam, Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selepas membenarkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dikenakan terhadap Mohd. Isa digantung sementara menunggu rayuan menaikkan jumlah jaminan RM800,000 sebelum ini kepada RM1.5 juta.
Baki jumlah tersebut perlu dibayar hari ini sebelum pukul 2 petang. Mohd. Isa hadir ke mahkamah hari ini bersama-sama isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang juga penjamin beliau.
Sementara itu, peguam belanya, Datuk Sallehuddin Saidin ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah semalam menerusi sistem e-filing Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini.
Semalam, Hakim Mohd. Nazlan memutuskan Mohd. Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan bersalah atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md. Arip.
Suapan tersebut adalah sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015 di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan perintahkan berjalan secara serentak. Hakim Mohd. Nazlan juga menjatuhkan hukuman denda RM15.45 juta. Gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara boleh ditambah lagi 18 tahun. -UTUSAN ONLINE