IRDA rekod pelaburan RM17 bilion tahun lalu - Utusan Malaysia

IRDA rekod pelaburan RM17 bilion tahun lalu

ISMAIL IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Koridor ekonomi Iskandar Malaysia hanya mampu merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM17 bilion bagi tahun lalu berbanding kadar pelaburan purata bernilai RM30 bilion pada tahun-tahun terdahulu.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, prestasi berkenaan disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak tahun lalu.

Menurut beliau, sehubungan itu pihaknya menyasarkan nilai pelaburan antara RM15 bilion hingga RM17 bilion sahaja bagi tahun ini.

“Sasaran ini bersandarkan situasi semasa pandemik yang masih berlarutan dan dijangka sehingga memasuki suku kedua tahun ini.

“Situasi semasa pandemik Covid-19 ini bagaimanapun tidak mengurangkan usaha yang diambil bagi menarik lebih banyak pelaburan, sama ada domestik mahupun asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Kempen Komemoratif 15 Tahun Iskandar Malaysia yang diadakan secara maya dan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad, di sini hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya akan mengadakan lebih banyak perbincangan dan penglibatan bersama pelabur berpotensi kerana percaya mampu meletakkan Iskandar Malaysia di landasan asal.

“Bagi menjayakan usaha itu, IRDA akan mencari formula baharu melalui penyusunan semula beberapa strategi bersesuaian dengan norma baharu bagi memastikan pembangunan dalam wilayah ini terus berlangsung.

“Formula itu termasuklah memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi melibatkan pelaburan domestik kerana masih terdapat banyak syarikat tempatan yang berpotensi untuk bertapak di koridor ekonomi ini.

“Selain itu, kita juga perlu mencari jalan penyelesaian lebih spesifik seperti menarik pelaburan dari negara yang diklasifikasi sebagai negara hijau iaitu yang tidak berdepan masalah pandemik Covid-19.

“Ini dua pendekatan yang boleh diberi tumpuan bagi membolehkan pembangunan perniagaan dan ekonomi domestik terus diperkukuh dalam masa sama, mencari titik fokus bagaimana kita dapat menggalakkan pelaburan bagi mencetuskan perkembangan ekonomi di wilayah ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya