IPOH: Sebanyak 20 lokasi komuniti di bandar ini akan dilengkapi internet tanpa wayar (WiFi) percuma yang disediakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai usaha menjadikan Ipoh bandar pintar.
Selain itu, kemudahan itu juga bakal membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan pasaran produk mereka apabila beroperasi dalam zon internet.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, buat permulaan kemudahan melalui program MBIFREEWIFI dengan kelajuan 300Mbps itu boleh diakses sehingga 250 pengguna pada satu-satu masa di kawasan liputan.
Menurut beliau, kemudahan itu juga dapat membantu pelajar-pelajar bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mengikut kebiasaan baharu ketika ini.
“Ia juga bagi menjayakan Program Tuisyen Cikgu Saarani yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad pada 3 Februari lalu.
“Projek pemasangan WiFi percuma ini dijangka siap pada penghujung April manakala lokasinya pula akan dimaklumkan kelak,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran MBIFREEWIFI di Dewan Komuniti, Sungai Tapah, Manjoi di sini hari ini.
Pada majlis itu sebanyak 10 unit tablet disumbangkan MBI kepada pelajar yang juga penduduk Manjoi daripada kumpulan B40 bagi tujuan PdPR.
Pelaksanaan kemudahan itu melibatkan kerjasama MBI dengan syarikat penyedia telekomunikasi.
Ketika ini kerja-kerja pemasangan serta menyiapkan prasarana asas sedang dilaksanakan oleh pihak MBI.
Kemudahan MBIFREEWIFI merupakan salah satu komponen ‘quick win smart-city’ untuk menjayakan hasrat menjadikan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan pintar.