Inspektor didakwa atas tuduhan minta rasuah - Utusan Malaysia

Inspektor didakwa atas tuduhan minta rasuah

FIRDAUS Khalid (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan daripada seorang lelaki dua tahun lalu di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta rasuah daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Firdaus Khalid, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Inspektor (D9) Risikan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak didakwa meminta suapan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 daripada Woo Kin Soon, 36.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh menyediakan laporan pakar judi yang negatif bersabit kertas siasatan IPOH/JSJ/KS/1333/19.

Perbuatan tersebut dilakukan lelaki itu di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas di sini pada 24 Jun 2019.

Pendakwaan ke atasnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN