Inspektor, anggota polis positif dadah dicekup sertai parti liar - Utusan Malaysia

Inspektor, anggota polis positif dadah dicekup sertai parti liar

MIOR Faridalathrash Wahid (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga kes berasingan di Perak pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan lima anggota antara 14 individu yang ditahan ketika leka berhibur dan disyaki mengambil dadah dalam parti liar yang dijalankan di sebuah pangsapuri di Ipoh hari ini.

Serbuan pada pukul 1.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pegawai kanan berusia 30-an dan lima anggota pelbagai pangkat berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu bertugas di Kontinjen Perak.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati hanya pegawai terbabit dan empat anggota positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan lima wanita tempatan dan tiga wanita Indonesia masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Kesemua wanita tempatan dan dua wanita Indonesia yang ditahan itu juga didapati positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada premis berkenaan disewa atau milik seorang daripada tangkapan.

“Perintah tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah setelah menahan tiga lelaki dan merampas 22.24 kg dadah bernilai RM866,577 dalam tiga kes berasingan di Kamunting, Taiping; Ipoh dan perairan Pangkor.

Katanya, dalam tangkapan pada pukul 1 pagi di sebuah rumah di Kampung Baru di Kamunting, kelmarin oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu, dua lelaki berusia 35 dan 26 tahun ditahan.

“Dalam tangkapan itu, kita merampas 110 peket plastik lutsinar dadah jenis heroin seberat 240 gram dan 6.77 gram syabu dengan nilai pasaran berjumlah RM9,077,” katanya.

Menurut beliau, tangkapan kedua pada pukul 4 petang hari yang sama di kawasan Lapangan Symphony Business Park di Ipoh, pasukan JSJN IPK Perak telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang sedang menunggang motosikal.

“Ketika ditangkap, suspek cuba melarikan diri namun cubaannya itu gagal. Pemeriksaan menjumpai 10 paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 4.5 kg yang dianggarkan bernilai RM157,500,” katanya.

Tambah beliau, dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 17.5 kg turut dijumpai terapung di perairan Pangkor pada pukul 9.45 pagi, semalam.

“Dadah yang diisi dalam guni itu dijumpai terapung oleh nelayan sebelum menghubungi polis.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat 20 bungkus plastik serbuk teh dalam guni tersebut di mana daripada jumlah itu, 17 bungkusan mengandungi dadah manakala selebihnya telah rosak kerana terendam dalam air. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM700,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya