PUTRAJAYA: Rentas negeri dijangka dibenarkan sekiranya imuniti kelompok mencapai sasaran 70 hingga 80 peratus bergantung kepada kajian semasa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya ada berbincang perkara terbabit tetapi masih terlalu awal untuk membuat keputusan.
Katanya, ia seperti kelonggaran membabitkan pasport vaksin sama ada boleh rentas negeri atau pun negara malah bukan hanya Malaysia sedang melihatnya tetapi negara lain turut membincangkannya.
“Kita juga melihat mereka yang sudah menerima vaksin sama ada perlu dikuarantin ataupun tidak namun Kementerian Kesihatan memerlukan banyak data untuk dikaji yang memerlukan tempoh enam hingga sembilan bulan.
“Sekiranya Malaysia sudah mencapai imuniti kelompok iaitu 70 hingga 80 peratus jumlah rakyat Malaysia, rentas negeri mungkin akan dipertimbangkan namun perbincangan sedang berjalan malah data perlu dikaji,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sesi Libat Urus Bersama Ketua Pengarah Kesihatan Bersama Media Siri 4/2021 : Perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 secara maya, hari ini.
Ditanya mengenai tanda Malaysia sudah mencapai imuniti berkelompok, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya akan melihat jumlah mereka yang telah diberi vaksin kerana jumlah rakyat Malaysia adalah seramai 32 juta orang.
“Kita akan tengok pada jumlah itu malah kajian juga akan dijalankan selepas vaksinasi dan kajian lapangan juga akan dilakukan bagi mengkaji antibody dan keberkesana vaksinasi.
“Selain itu, penilaian keberkesanan program ini juga sedang dilakukan dan banyak data yang perlu dikumpulkan bagi mendapatkan hasil yang jelas,” katanya. _UTUSAN ONLINE