Ibu Yati yang sepatutnya mohon maaf - Nasrudin - Utusan Malaysia

Ibu Yati yang sepatutnya mohon maaf – Nasrudin

NASRUDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan enggan melayan tuntutan Ibu Yati yang memintanya mohon maaf kerana memfitnah dirinya.

Sebaliknya beliau dalam nada tegas meminta wanita tersebut pula untuk tampil meminta maaf secara terbuka kerana cuba menyebarkan fahaman pelik bertentangan ajaran Islam sebenar.

“Pada saya, sepatutnya dia yang kena mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutama umat Islam kerana banyak kenyataan disiarkan selama ini memberi kecelaruan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir Musa’adah Covid-19 oleh Yadim di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang melibatkan barangan keperluan asas selain bahan makanan.

Minggu lalu, umat Islam gempar dengan video tular memaparkan ritual pelik Agama Melayu yang didakwa disebarkan oleh Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias.

Bekas wartawan akhbar itu bagaimanapun telah membuat laporan polis dan memberi tempoh tujuh hari kepada Nasrudin memohon maaf kerana memfitnah dia membawa ajaran sesat.

Mengulas lebih lanjut, Nasrudin mendakwa, banyak tulisan yang beliau rujuk sendiri menerusi akaun sosial Facebook Ibu Yati lebih setahun lalu didapati agak mengelirukan akidah Muslim.

“Setakat ini, saya belum terima sebarang surat saman daripada dia tetapi pada masa sama, mungkin lebih 10 badan bukan kerajaan tampil buat laporan polis terhadapnya,” kata beliau.

Yadim ujarnya, namun bersedia menawarkan siri kursus atau seminar bagi menjawab segala persoalan mengelirukan dan memberi pencerahan jelas berhubung ajaran Islam yang sahih.

Ini termasuk dakwaan Ibu Yati kononnya agama Islam diamalkan masyarakat tempatan pada ketika ini ialah ajaran Islam Arab yang cukup tidak bersesuaian dengan suasana negara kita.

Nasrudin sebaliknya menyifatkan dakwaan wanita tersebut sebagai karut kerana agama Islam itu sendiri bersifat universal untuk semua kaum dan tiada istilah Islam Melayu atau Islam Arab.

“Hal ini sahaja sudah jelas bercanggah dengan syariat yang diwahyukan Allah SWT melalui al-Quran dan sunnah serta dibimbangi boleh merosakkan akidah umat Islam,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun menyerahkan isu itu kepada jabatan agama Islam negeri terbabit untuk melakukan proses siasatan terperinci terlebih dahulu kerana ia memang bidang kuasa negeri. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN